Alumni HLYM santuni Harimau Buta Malaysia

PROGRAM ‘Blindness Doesn’t Stop The Game’ oleh HLYMA dan Harimau Buta Malaysia.

Harian Metro, Published 17 June 2023

Subang Jaya: Alumni Hong Leong Yamaha Motor (HLYMA) terdiri daripada pengedar, rakan niaga dan pekerja industri motosikal Yamaha di Malaysia menganjurkan aktiviti komuniti ‘Blindness Doesn’t Stop The Game’ bersama Persatuan Bolasepak Orang Buta Malaysia (BFAM).

Pengerusi HLYMA, Ng Yee Sheng atau lebih dikenali sebagai ‘Boss James’ berkata ia adalah aktiviti untuk menghargai dan menyokong atlit kelainan upaya terutama kepada pasukan ‘Harimau Buta Malaysia’.

“Mereka melihatkan prestasi yang cemerlang dalam Sukan Para ASEAN (APG) ke-12 untuk sukan ‘Blind Football (5A Side)’ di Kemboja baru-baru ini yang berjaya membawa pulang pingat perak untuk acara bola sepak,”

“Kami di HLYMA bersama-sama membantu mengumpulkan dana dan keperluan bagi disalurkan kepada pasukan ini bagi memastikan prestasi terbaik buat atlet negara dalam kejohanan-kejohanan mendatang,’ katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Turut hadir ke program ini Timbalan Pengarah (Sukan) Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Selangor, Norazreen Sulaiman dan Pengurus Besar Pemasaran dan Meta HLYM, Tim Hoo.

Selain itu dalam program sama turut diadakan perlawanan persahabatan diantara ahli-ahli HLYMA serta pelajar sekolah menentang skuad Harimau Buta Malaysia bagi memberi peluang untuk merasai pengalaman bermain bola sepak dengan mata ditutup.

Mereka juga dapat mendekati dan bermesra dengan pemain-pemain ini serta belajar akan teknik dan latihan yang diterapkan ke dalam pasukan oleh Ketua Jurulatih Harimau Buta Malaysia, Sunny Salesh.

“Tidak dilupakan juga kepada ‘unsung heroes’ yang bekerja tanpa henti di belakang tabir, para jurulatih dan staf-staf sokongan yang mengasah bakat pemain,”

“Dedikasi yang mereka curahkan membuka jalan kepada perkembangan dan pengiktirafan bola sepak orang buta sebagai sebuah sukan yang mampu bersaing di peringkat global,” katanya.

Boss James juga sebagai pempengaruh media sosial berkata selepas ini ada banyak lagi program yang sedang dirancang membabitkan sukan dan sebagai yang terlibat dalam perniagaan industri motosikal ini adalah salah satu cara sumbangan dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka kepada masyarakat dan komuniti.

Source: https://www.hmetro.com.my/vroom/2023/06/978710/alumni-hlym-santuni-harimau-buta-malaysia